fb fb fb fb fb

Siasatan kes keracunan gas di Iran, boleh jadi bidang kuasa PBB

(Foto AFP)

WASHINGTON, 7 Mac- Siasatan berhubung kes keracunan gas baru-baru ini terhadap kanak-kanak perempuan di sekolah di Iran boleh jatuh di bawah bidang kuasa Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB).

Menurut kiraan rasmi, beberapa ratus kes keracunan gas telah dilaporkan di lebih 52 sekolah di seluruh Iran sejak akhir November lalu.

Kes-kes tersebut berlaku lebih lima bulan selepas bermulanya protes, yang tercetus susulan kematian Mahsa Amini, 22, kerana didakwa melanggar kod pakaian ketat negara itu bagi wanita.

"Jika keracunan ini berkaitan dengan penyertaan dalam protes maka ia berada dalam mandat misi, mencari fakta antarabangsa bebas PBB ke atas Iran untuk menyiasat," kata jurucakap White House, Karine Jean-Pierre, merujuk kepada badan yang ditubuhkan pada November untuk menyiasat pencabulan hak manusia di Iran.


(Tunjuk perasaan di Iran pada September lalu/Foto fail AFP) 

"Mesti ada penyiasatan bebas yang boleh dipercayai, akauntabiliti bagi mereka yang bertanggungjawab," katanya semasa sidang akhbar hariannya, mengecam keracunan itu sebagai "tidak wajar."

Selama lebih tiga bulan, beratus-ratus murid perempuan telah melaporkan mengalami gejala seperti sesak nafas, loya dan vertigo selepas mengesan bau "tidak menyenangkan" atau "tidak diketahui", dengan beberapa orang gadis dimasukkan ke hospital.

Insiden tersebut telah mencetuskan ketakutan dalam kalangan ibu bapa dan menggesa pihak berkuasa bertindak.

Sementara itu, Timbalan Menteri Kesihatan, Younes Panahi berkata baru-baru ini serangan yang disyaki bertujuan untuk menyekat pendidikan untuk kanak-kanak perempuan.

Pemimpin tertinggi Iran Ayatollah Ali Khamenei pada hari Isnin berkata pelaku harus menerima "hukuman berat".

Pegawai Iran belum mengumumkan sebarang penahanan setakat ini.-AFP

Media Baharu