TOKYO, 8 Julai- Bekas Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe dikhuatiri maut selepas ditembak ketika berucap di wilayah Nara, barat Jepun pada Jumaat.
Kerajaan Jepun mengesahkan mengenai insiden tersebut.
"Bekas perdana menteri Abe ditembak sekitar pukul 11:30 pagi di Nara.
Seorang lelaki dipercayai penembak telah ditahan dan keadaan bekas Perdana Menteri Abe kini tidak diketahui," kata Ketua Setiausaha Kabinet, Hirokazu Matsuno kepada pemberita.
Menurut laporan media tempatan, beliau tidak menunjukkan sebarang tanda vital selepas insiden tersebut.
Abe, 67 tahun rebah dan mengalami pendarahan di bahagian leher menurut sumber Parti Liberal Demokratik (LDP) yang memberitahu agensi berita Jiji.
Bagaimanapun LDP mahupun polis tempatan belum dapat mengesahkan laporan dengan segera.
(Petugas perubatan dan keselamatan berada di lokasi kejadian selepas Shinzo Abe ditembak
di dataran stesen Kintetsu Yamato-Saidaiji di Nara / Foto STR, JIJI PRESS, AFP)
Penyiar nasional NHK dan agensi berita Kyodo melaporkan Abe dibawa ke hospital dan berada dalam keadaan 'cardio-respiratory arrest', terma yang digunakan di negara tersebut bagi kes tiada tanda vital.
Beberapa media melaporkan beliau mungkin ditembak dari arah belakang menggunakan senapang patah.
Sementara itu penyiar awam NHK memetik sumber polis memaklumkan, suspek berusia dalam lingkungan 40-an telah ditahan dan sepucuk pistol dirampas.
Abe, merupakan perdana menteri Jepun yang berkhidmat paling lama, memegang jawatan pada 2006 selama satu tahun dan sekali lagi memimpin dari tahun 2012 hingga 2020.