fb fb fb fb fb

Shehbaz Sharif dipilih PM Pakistan kali kedua

Parlimen Pakistan memilih Shehbaz Sharif hari ini sebagai Perdana Menteri buat kali kedua/Foto REUTERS

ISLAMABAD, 3 Mac - Parlimen Pakistan memilih Shehbaz Sharif hari ini sebagai Perdana Menteri buat kali kedua.

Ini bermakna, Shehbaz dipilih sebagai perdana menteri ke-24 bagi negara itu untuk penggal kedua.

Pemilihan itu dibuat selepas tiga minggu berlangsungnya pilihan raya yang menyaksikan keputusan samar hingga menyebabkan kelewatan dalam pembentukan kerajaan gabungan.

"Shehbaz Sharif dipilih sebagai perdana menteri Pakistan," kata Pengerusi Dewan Rakyat, Ayaz Sadiq.

Sadiq membuat pengumuman itu selepas Sharif mendapat 201 undi, melebihi undi yang diperlukan iaitu 169 undi.

Sharif menewaskan Omar Ayub, calon disokong bekas Perdana Menteri yang dipenjara, Imran Khan, yang mendapat 92 undi.

Pengisytiharan itu disambut dengan protes daripada parti Sunni Ittehad Council (SIC) yang disokong Khan.

Ahli Parlimen meminta pembebasan Khan dan meluahkan slogan yang mendakwa Sharif mendapat kuasa melalui penipuan pilihan raya.

Pilihan raya pada 8 Februari lalu dicemari sekatan internet mudah alih, penahanan dan keganasan ketika proses persediaan dan kelewatan keputusan yang jarang berlaku.

Ini sekali gus menimbulkan tuduhan bahawa wujudnya penipuan dalam pilihan raya berkenaan.

Shehbaz kembali menjawat jawatan disandang sehingga Ogos tahun lalu apabila parlimen dibubarkan menjelang pilihan raya dan kerajaan sementara mengambil alih.

Tiada parti tunggal memenangi majoriti.

Sharif, 72, adalah adik kepada bekas Perdana Menteri tiga kali, Nawaz Sharif, yang memimpin kempen pilihan raya parti Pakistan Muslim League-Nawaz (PML-N).

Calon yang disokong oleh Khan mendapat kebanyakan kerusi tetapi PML-N dan Pakistan Peoples Party (PPP) bersetuju membentuk kerajaan gabungan yang membolehkan Shehbaz Sharif dipilih sebagai perdana menteri apabila abangnya berundur.

Kerajaan baru perlu segera memulakan rundingan dengan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) untuk perjanjian seterusnya untuk membantu negara itu mengatasi kemelut ekonominya.

Kerajaan juga bergelut dengan cabaran berterusan daripada penyokong Khan.- REUTERS

GRACE AISYAH KEDAYAN