fb fb fb fb fb

Setiausaha Agung PBB beri amaran kepada Trump, terhadap penghapusan etnik di Gaza

Antonio Guterres

GENEVA, 6 Februari- Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres memberi amaran kepada Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump supaya tidak melakukan penghapusan etnik di Gaza.

Ia selepas Trump mencadangkan supaya rakyat Palestin menetap di tempat lain dan Amerika Syarikat mengambil alih kawasan yang dilanda perang itu.

"Dalam mencari penyelesaian, kita tidak boleh memburukkan lagi masalah. Adalah penting untuk kekal berpegang kepada asas undang-undang antarabangsa. Adalah penting untuk mengelakkan sebarang bentuk pembersihan etnik," kata Guterres pada mesyuarat jawatankuasa PBB yang dirancang sebelum ini.

"Kita mesti menyelesaikan konflik kedua-dua negara," katanya lagi

Walaupun Guterres tidak menyebut Trump atau cadangan Gaza semasa menyampaikan ucapannya kepada Jawatankuasa Pelaksanaan Hak-Hak Tidak Boleh Dicabul Rakyat Palestin, jurucakapnya Stephane Dujarric memberitahu pemberita sebelum ini bahawa ia akan menjadi "andaian adil" untuk melihat kenyataan Guterres sebagai tindak balas.

Terdahulu pada Rabu Guterres mengadakan pertemuan dengan Pemerintah Jordan Raja Abdullah mengenai situasi di rantau itu, kata Dujarric.

Duta Palestin ke PBB Riyad Mansour, yang dilantik oleh Pihak Berkuasa Palestin, memberitahu jawatankuasa itu bahawa Abdullah akan menyampaikan mesej dari negara Arab kepada Trump apabila beliau melawat Washington minggu depan.

"Kami tidak mempunyai negara kecuali Palestin. Gaza adalah bahagian berharga daripadanya. Kami tidak akan meninggalkan Gaza. Tiada kuasa di bumi yang boleh mengeluarkan rakyat Palestin dari tanah air nenek moyang kita, termasuk Gaza.

"Kami mahu membina semulanya. Kami mahu menyusunnya semula dan kami meminta semua negara membantu kami dalam usaha ini. Kami tidak mencari tanah air lain atau negara lain," kata Mansour.

Rakyat Palestin mahukan sebuah negara di Tebing Barat, Baitulmaqdis Timur dan Gaza, semua wilayah yang ditawan oleh Israel dalam perang 1967 dengan negara-negara Arab jiran.

"Sebarang keamanan berkekalan memerlukan perbincangan dan pemulihan kedua-dua negara. Selain itu penamatan pendudukan dan penubuhan negara Palestin yang merdeka di Palestin adalah bermakna dengan Gaza sebagai bahagian penting," kata Guterres.

"Keamanan Palestin merupakan penyelesaian mampan untuk kestabilan Asia Barat," katanya.

Perjanjian mengenai gencatan senjata dan pembebasan tebusan yang ditahan oleh Hamas berkuat kuasa pada 19 Januari 2025.- Reuters

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI