fb fb fb fb fb

Setiausaha Agung GCC sambut baik persetujuan awal Gaza, usaha capai gencatan senjata kekal

Foto AFP

RIYADH, 10 Oktober -Setiausaha Agung Majlis Kerjasama Teluk (GCC) Jasem Albudaiwi menyambut baik persetujuan gencatan senjata Gaza yang dicapai, lapor Saudi Press Agency (SPA).

Persetujuan itu untuk melaksanakan langkah pertama inisiatif yang dicadangkan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump bagi menjamin gencatan senjata dan membuka jalan kepada keamanan yang berkekalan.

Albudaiwi memuji usaha signifikan yang dibuat oleh Trump serta sokongan membina yang diberikan oleh Qatar, Mesir dan Turkiye bagi mencapai persetujuan itu melalui laluan diplomatik yang gigih dan penyelarasan berterusan.

Beliau menekankan yang langkah itu mewakili harapan baharu untuk mengurangkan penderitaan penduduk Gaza dan membuka jalan untuk menangani keadaan tragis yang dialami oleh orang awam, terutamanya berhubung penyediaan bantuan perubatan dan makanan, serta memastikan aliran sokongan kemanusiaan yang selamat dan mampan.

Albudaiwi menekankan keperluan agar peringkat ini menjadi permulaan kepada laluan politik yang jelas yang membawa kepada pengunduran sepenuhnya tentera Israel dari Semenanjung Gaza dan pemulihan keselamatan serta kestabilan.

Beliau juga menekankan penyambungan semula usaha antarabangsa yang bertujuan untuk mencapai penyelesaian yang adil dan menyeluruh berdasarkan penyelesaian dua negara.

“Langkah ini juga mesti membolehkan rakyat Palestin menuntut hak sah mereka untuk menubuhkan negara merdeka berdasarkan sempadan 4 Jun 1967 dengan Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu negara, selaras dengan Inisiatif Keamanan Arab dan resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu,” katanya. - BERNAMA

TETITIA YUSOFF