BULGARIA, 10 Oktober -Sebuah mahkamah di Rusia telah menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun terhadap seorang wanita warganegara dwi Bulgaria-Rusia atas pertuduhan "menghalalkan keganasan", menurut Kementerian Luar Bulgaria dalam kenyataan kepada AFP pada Khamis.
Bagaimanapun, keputusan mahkamah itu masih belum muktamad dan boleh dirayu.
Kementerian itu menyifatkan kes berkenaan sebagai satu lagi bukti tindakan sistematik Rusia terhadap suara yang tidak sehaluan dengan dasar negara tersebut.
Rusia sebelum ini telah menahan, mengenakan denda atau memenjarakan ramai individu termasuk warga asing atas dakwaan berkaitan pengkhianatan, keganasan, sabotaj dan pengintipan.
Kumpulan hak asasi manusia menyifatkan tindakan itu sebagai sebahagian daripada usaha mengekang kebebasan bersuara.
Kementerian turut menegaskan bahawa kes tersebut mencerminkan tindakan "sistematik dan bersasar" pihak berkuasa Rusia untuk menyekat kebebasan bersuara dan mengawal maklumat.
Tindakan seperti itu, menurut kementerian, membawa kepada hukuman yang "tidak sepadan" terhadap pandangan yang bertentangan dengan naratif rasmi Moscow, khususnya dalam konteks pencerobohan ketenteraan Rusia ke atas Ukraine.
Pada September lalu, seorang pelapor khas Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) turut menyuarakan kebimbangan terhadap tindakan sistematik Rusia menyekat kebebasan bersuara dan hak-hak lain, sambil menyatakan bahawa negara itu berusaha "menghapuskan ruang sivik, menindas pembangkang politik, menekan budaya dan memesongkan kebenaran sejarah." - AFP