fb fb fb fb fb

Setelah ‘sakit mental’ AS syor pembebasan Al-Qahtani, terlibat serangan 9/11

FOTO AFP

(Gambar pusat tahanan 'Camp X-Ray' Teluk Guantanamo diambil pada 2017)

 

WASHINGTON, 5 Februari- Pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) mengesyorkan pembebasan seorang tahanan ‘sakit mental’ di penjara Teluk Guantanamo seterusnya dihantar pulang ke Arab Saudi. Maklumat itu berdasarkan dokumen kerajaan yang dikeluarkan pada Jumaat.

Tahanan yang dikenali sebagai Mohammed al-Qahtani, dikatakan perampas ke-20 penerbangan American Airlines, serangan 11 September 2001 dan dilabel sebagai ejen Al-Qaeda oleh AS.

“Penahanan Al-Qahtani tidak lagi diperlukan untuk melindungi ancaman besar yang berterusan terhadap keselamatan negara," menurut keputusan ringkas, Lembaga Kajian Berkala, panel yang terdiri daripada beberapa agensi keselamatan AS.

Keputusan bertarikh 4 Februari itu menyatakan Al-Qahtani "layak untuk dipindahkan" dan mengesyorkan dia dihantar pulang ke Arab Saudi bagi membolehkan dia mendapatkan rawatan kesihatan mental secara komprehensif dan didaftarkan di pusat pemulihan pelampau.

Badan itu menyatakan, “keadaan kesihatan mental Al-Qahtani serius dan memerlukan sokongan keluarganya.” Langkah keselamatan termasuk pengawasan dan sekatan perjalanan turut disyorkan.

Al-Qahtani ditahan di Afghanistan semasa pertempuran Tora Bora pada Disember 2001 beberapa bulan selepas tragedi 9 September.

Ketika menjalani hukuman di Teluk Guantanamo, Cuba; dia dikatakan diseksa oleh penyiasat dan pertama kali AS mengaku menyeksa tahanan Teluk Guantanamo.

"Kami menyeksa Qahtani," kata Susan Crawford, pegawai kehakiman tertinggi semasa pentadbiran Bush pada 2009, menurut artikel Washington Post.

Kes penderaan Al-Qahtani didokumentasikan secara meluas sehingga mendapat pembelaan kumpulan hak asasi manusia antarabangsa seterusnya membawa kepada gesaan menutup pusat tahanan tersebut.

Al-Qahtani dikatakan telah diasingkan dalam tempoh masa panjang, tidak mendapat tidur mencukupi, penghinaan seksual dan beberapa penderaan lain.

Bulan lepas, AS meluluskan pembebasan lima tahanan daripada 39 tahanan lelaki di Guantanamo.

Kalangan 10 tahanan, termasuk perancang utama serangan 11 September, Khalid Sheikh Mohammed atau dikenali sebagai "KSM" yang masih menunggu perbicaraan oleh suruhanjaya tentera. -AFP

Media Baharu