fb fb fb fb fb

COVID-19: Kes kematian di AS melepasi 900,000

FOTO AFP

WASHINGTON, 5 Februari- Jumlah kematian akibat COVID-19 di Amerika Syarikat (AS) kini melepasi 900,000 kes berdasarkan data dikemas kini Universiti Johns Hopkins.

Pada pertengahan Disember lalu, jumlah kes kematian sudah mencecah 800,000. 

Kes baharu yang dikaitkan dengan varian Omicron telah berkurangan, namun jumlah kematian harian kekal meningkat dengan purata 2,400 kes, menurut data dikeluarkan kerajaan.

“Jumlah pesakit dimasukkan ke hospital kekal tinggi, meningkatkan kapasiti dan tenaga kerja pada tahap maksimum,” kata Rochelle Walensky, Pengarah Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit AS.

Kematian akibat COVID-19 biasanya terjadi beberapa minggu selepas individu dijangkiti virus, menjelaskan mengapa berlaku peningkatan jumlah kematian semasa berbanding jumlah kes baharu positif COVID-19.

“Hari ini, negara kita merekodkan satu lagi peristiwa tragis, 900,000 nyawa orang Amerika terkorban disebabkan COVID-19,” jelas Presiden Joe Biden menerusi satu kenyataan. “Kami berdoa untuk insan tersayang yang ditinggalkan."

Kes kematian di AS terus meningkat dalam jumlah besar disebabkan hanya kira-kira 64% penduduk telah menerima vaksinasi lengkap, meskipun vaksin berkesan sedia untuk digunakan.

Dalam kenyataan sama Biden menggesa rakyat agar mendapatkan vaksin.

“Vaksin dan dos penggalak telah terbukti sangat berkesan serta memberikan tahap perlindungan tinggi”, katanya.

Berbasarkan data rasmi kerajaan, AS merekodkan kes kematian paling banyak selepas Brazil dan India.

Pandemik COVID-19 telah membunuh sekurang-kurangnya 5.7 juta penduduk dunia sejak wabak dikesan pada Disember 2019.

Namun, Pertubuhan Kesihatan Sedunia menyatakan jumlah sebenar mungkin dua atau tiga kali ganda lebih tinggi. -AFP

 

Media Baharu