NOVI SAD, 1 November- Ribuan pelajar dari serata Serbia berhimpun di Novi Sad pada Jumaat (31 Oktober), menjelang ulang tahun pertama tragedi keruntuhan bumbung stesen kereta api yang mengorbankan 16 nyawa pada November lalu.
Tragedi itu telah mencetuskan pergerakan protes di seluruh negara yang sebahagian besarnya berlangsung secara aman, dipimpin oleh pelajar universiti dan profesor.
Protes tersebut telah menggugat cengkaman kuasa Presiden Aleksandar Vucic selama 13 tahun.
Para penunjuk perasaan, yang telah berarak ke Novi Sad dari pelbagai bandar di Serbia, menuntut pilihan raya mengejut, dengan harapan untuk menyingkirkan Vucic dan Parti Progresif Serbia (SNS) beliau yang berfahaman populis.
Perhimpunan utama di Novi Sad dijadualkan bermula pada pukul 11.52 pagi pada 1 November di luar stesen kereta api.
Acara tersebut akan dimulakan dengan upacara berdiam diri selama 16 minit sebagai tanda memperingati mangsa tragedi, kemudian diikuti dengan ucapan daripada pelajar. -REUTERS