fb fb fb fb fb

Serpihan helikopter tentera Jepun dilaporkan hilang, ditemukan

(Barangan yang ditemukan terapung di kawasan pencarian/Foto AFP)

TOKYO, 7 April- Pasukan penyelamat Jepun menemukan lebih banyak serpihan helikopter tentera yang dinaiki 10 kru, sehari selepas dilaporkan hilang dari radar.

Helikopter UH-60JA itu dinaiki dua juruterbang, dua mekanik dan enam kru dilaporkan hilang sejurus berlepas sebelum 4.00 petang Khamis waktu tempatan ketika ia terbang di kawasan perairan Pulau Miyako, selatan Okinawa.

Penyelamat pantai telah menemukan beberapa serpihan dipercayai daripada bahagian helikopter termasuk pintu, bilah yang terputus dan rakit penyelamat berwarna kuning yang masih tersimpan dalam beg.

Menteri Pertahanan, Yasukazu Hamada kelihatan sebak ketika berjanji untuk meneruskan usaha mencari dan menyelamat mangsa.

“Kami telah menjalankan operasi mencari dan menyelamat dalam kawasan nahas sepanjang malam, namun setakat ini belum menemui Jeneral (Yuichi) Sakamoto dari Angkatan Pertahanan Darat Divisyen 8 serta sembilan individu lain," katanya, dalam nada sebak.

“Kami akan melakukan segala usaha untuk mencari 10 orang yang masih hilang,” katanya.


(Antara bahagian helikopter yang ditemukan/Foto AFP)

Setakat ini, belum ada petunjuk jelas punca nahas yang berlaku ketika pesawat tersebut dalam misi peninjauan di kawasan terbabit.

Pasukan tentera Jepun, yang hanya melakukan aktiviti ketenteraan secara terhad atas alasan perlembagaan pasca perang, tidak banyak merekodkan kemalangan udara berkaitan.

Pada Januari 2022, jet pejuang Jepun terhempas di kawasan perairan wilayah Ishikawa, membunuh dua juruterbang. Kemalangan itu mencetuskan perebutan untuk mendapatkan semula juruterbang dan rahsia dalam pesawat.

Susulan nahas itu, Kementerian Pertahanan Jepun menyatakan bahawa juruterbang yang maut dalam nahas itu mengalami kekeliruan orientasi ruang, atau ketidakupayaan untuk menentukan posisi tubuh secara betul ketika mengemudi penerbangan. –AFP

Media Baharu