FOTO AFP
ROM, 4 Februari- Presiden Itali, Sergio Mattarella mengangkat sumpah pada Khamis, secara rasmi menerima mandat bagi penggal kedua untuk tempoh tujuh tahun.
Pemilihan semula beliau berlaku selepas parti-parti politik utama di negara itu gagal mencapai persetujuan terhadap pencalonan bagi Presiden baharu.
Meskipun menolak pada awalnya, Mattarella bersetuju menggalas tugas itu berikutan rasa tanggungjawab terhadap situasi kesihatan dan ekonomi semasa akibat COVID-19.
Bercakap kepada ahli parlimen, Mattarella menekankan keperluan negara untuk bersatu dalam fasa pemulihan yang sukar ini, selain menggariskan beberapa keutamaan untuk ditangani dalam masa terdekat.
Antaranya pembaharuan yang meluas dalam sistem kehakiman.
Presiden juga menyentuh mengenai tempoh masa perdebatan yang dipadatkan di Parlimen, sejak dua tahun lepas.
Ini menjejaskan peranan Parlimen berikutan proses membuat keputusan yang cepat diperlukan ketika mendepani cabaran COVID-19. -AFP