fb fb fb fb fb

COVID-19: Kes kematian di India melepasi 500,000

FOTO AFP

(Petugas kesihatan sedang menyuntik vaksin kepada remaja berumur 18 tahun ke atas)  

NEW DELHI, 4 Februari- Jumlah kematian rasmi akibat COVID-19 di India melepasi 500,000 kes hari ini, walaupun banyak pakar percaya jumlah sebenar jauh lebih tinggi.

Kemas kini Kementerian Kesihatan India menunjukkan jumlah kematian mencecah 500,055, tambahan lebih 1,072 dalam tempoh 24 jam terbaru.

Manakala jumlah kes positif sudah mencecah 41.9 juta kes, kedua tertinggi selepas Amerika Syarikat.  

Jumlah kes telah meningkat sejak beberapa minggu kebelakangan ini disebabkan varian Omicron yang mudah merebak, namun kadar jangkitan sedikit berkurangan dalam tempoh beberapa hari lalu.

Minggu lalu, Kementerian Kesihatan berkata terdapat petunjuk peningkatan kes di beberapa bahagian negara itu. 

Pakar berkata gelombang Omicron tidak menyebabkan kes kematian atau kemasukan hospital yang tinggi. Beberapa negeri yang telah mengenakan sekatan pergerakan telah mula melonggarkan arahan itu.

Hari ini, pihak berkuasa Delhi termasuk di kawasan ibu negara mengumumkan pembukaan semula sekolah tinggi, kolej, restoran dan gim seawal minggu depan.

Selepas diarahkan tutup selama hampir dua tahun, pertama disebabkan COVID-19 dan berikutnya akibat pencemaran, kelas peribadi untuk kanak-kanak berumur 4 hingga 14 tahun akan dibenarkan beroperasi semula pada 14 Februari ini, kata Timbalan Menteri Kesihatan, Manish Sisodia menerusi Twitter.

Tahun lalu, India antara negara paling teruk terjejas akibat penularan varian Delta, menyebabkan sistem kesihatan India hampir lumpuh.

Banyak pakar meramalkan, jumlah kematian di negara itu boleh mencecah 500,000 kes pada tahun lepas. Hakikatnya gelombang Delta dan beberapa varian lain menyebabkan sekurang-kurangnya 200,000 kes kematian meskipun banyak hospital kehabisan bekalan oksigen manakala pesakit bertungkus lumus mendapatkan bekalan ubat. -AFP

Media Baharu