SEOUL, 5 September – Korea Selatan menuntut Amerika Syarikat (AS) memastikan hak warganya tidak dicabuli selepas puluhan rakyatnya ditahan dalam serbuan imigresen di fasiliti Hyundai Motor di Georgia.
Jurucakap Kementerian Luar Korea Selatan berkata ramai warganegara mereka terbabit dalam operasi itu dan menegaskan kepentingan rakyat serta syarikat pelabur Korea di AS mesti dihormati sepanjang proses penguatkuasaan undang-undang.
Menurut agensi berita Yonhap, sekitar 30 warganegara Korea Selatan antara kira-kira 450 pekerja yang ditahan dalam serbuan Khamis lalu, sehingga memaksa projek pembinaan kilang bateri kereta dihentikan sementara.
Kilang berkenaan, usaha sama Hyundai Motor dan LG Energy Solution, merupakan sebahagian daripada pelaburan terbesar di Georgia dan dijadual beroperasi hujung tahun ini.
Pihak berkuasa AS menjelaskan operasi tersebut dijalankan dengan kebenaran kehakiman sebagai sebahagian siasatan terhadap amalan pekerjaan yang menyalahi undang-undang. -REUTERS