fb fb fb fb fb

Serbia haramkan perhimpunan LGBTQ pan-Eropah

(FOTO AFP)

BELGRADE, 14 September- Pihak berkuasa Serbia tetap melarang perhimpunan pan-Eropah komuniti LGBTQ, EuroPride yang dirancang diadakan di Belgrade walaupun berhadapan bantahan daripada penganjur dan penyokong mereka.

Notis rasmi larangan telah diserahkan kepada pihak penganjur.

Kementerian Dalam Negeri kemudiannya mengesahkan bahawa perarakan EuroPride pada hari Sabtu ini tidak dibenarkan.

"Konflik tidak masuk akal di jalan-jalan di Belgrade akan membahayakan keselamatan peserta perarakan dan orang ramai," kata Menteri Dalam Negeri, Aleksandar Vulin.

Ketegangan semakin memuncak di Belgrade sejak Presiden Serbia, Aleksandar Vucic menggesa acara itu dibatalkan akhir bulan lalu, mendorong bantahan daripada komuniti LGBTQ negara itu yang berikrar untuk meneruskan demonstrasi pada hari Sabtu.

Larangan rasmi itu dibuat hanya beberapa hari selepas beribu-ribu orang mengambil bahagian dalam demonstrasi anti-Pride di Belgrade, dengan kumpulan penunggang motosikal, paderi Ortodoks dan nasionalis sayap kanan menuntut perhimpunan EuroPride dilarang.

(Sukarelawan LGBT sedang menyelaraskan sepanduk semasa majlis perasmian EuroPride
2022 di Belgrade pada 12 September 2022/AFP)

Salah seorang penganjur acara itu, Goran Miletic bagaimanapun berkata demonstrasi akan diteruskan walaupun diharamkan.

Perarakan Belgrade Pride pada 2001 dan 2010 dicemari keganasan dan rusuhan selepas kumpulan sayap kanan menyasarkan acara tersebut.

Sejak 2014, perarakan dianjurkan secara tetap tetapi dilindungi pasukan penguat kuasa dalam jumlah yang besar.

Perhimpunan EuroPride diadakan di negara yang berbeza setiap tahun.

Jika dibenarkan pihak berkuasa, ini akan menjadi kali pertama Serbia menganjurkan acara itu. -AFP

Media Baharu