fb fb fb fb fb

Dua maut, 14 cedera dalam insiden bangunan runtuh di Jordan

(Pasukan penyelamat sedang mencari dan menyelamat mangsa di tapak
bangunan kediaman empat tingkat runtuh di Amman, Jordan/AFP)

AMMAN, 14 September- Mayat dua orang mangsa ditemukan selepas sebuah bangunan kediaman empat tingkat runtuh di ibu negara Jordan, kata pihak berkuasa sambil menambah 14 lagi berjaya diselamatkan tetapi yang lain masih terperangkap.

Jurucakap keselamatan Amer al-Sartawy memberitahu televisyen kerajaan bahawa jumlah kematian terbaharu akibat insiden itu ialah dua kematian, selepas satu dilaporkan pada awalnya, sambil menambah 14 yang lain cedera.

"Pasukan penyelamat menarik keluar mayat kedua dari runtuhan bangunan di daerah Jabal al-Weibdeh di sini, katanya.

Usaha untuk menyelamatkan lebih ramai mangsa sedang dijalankan.

Sumber perkhidmatan pertahanan awam berkata masih terdapat sebilangan orang yang terperangkap, tanpa memberikan angka yang tepat.

Pekerja penyelamat dilihat menggali runtuhan manakala kenderaan kecemasan berkumpul di luar lokasi kemalangan.

(usaha mencari dan menyelamat mangsa bangunan runtuh)

"Perdana Menteri Bisher al-Khasawneh memeriksa bangunan yang rosak itu bersama-sama dengan menteri dalam negeri, kesihatan dan maklumat," kata seorang wartawan AFP.

Jurucakap kerajaan Faisal al-Shaboul memberitahu pemberita di tapak itu bahawa Khasawneh telah mengarahkan Datuk Bandar Amman dan pegawai lain supaya menyiasat punca keruntuhan.

Timbalan Perdana Menteri Jordan Tawfiq Kreishan memberitahu televisyen kerajaan bahawa "antara sebab bangunan itu runtuh adalah ia sudah lama dan usang".

Bangunan di sekeliling sedang dinilai, tambah beliau.

Jabal al-Weibdeh adalah antara daerah tertua di Amman, sejak awal abad ke-20 dan didiami sejumlah besar ekspatriat. -AFP

(Dua maut, 14 cedera dalam insiden bangunan runtuh di Jordan/REUTERS)

Media Baharu