fb fb fb fb fb

Alternatif kepada dunia Barat dibentang dalam Sidang Kemuncak SCO

(Vladimir Putin dan Xi Jinping/REUTERS)

MOSCOW, 14 September- Alternatif kepada dunia Barat akan dibentang dalam Sidang Kemuncak Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO) di bandar Samarkand, Uzbekistan pada Khamis dan Jumaat ini, kata Kremlin.

Sidang kemuncak serantau itu bakal dihadiri Presiden Rusia Vladimir Putin, rakan sejawatannya dari China Xi Jinping dan beberapa pemimpin Asia lain.

SCO terdiri daripada China, Rusia, India, Pakistan dan empat negara Asia Tengah iaitu Kazakhstan, Kyrgyzstan, Uzbekistan dan Tajikistan; sebagai organisasi politik, ekonomi dan keselamatan untuk menyaingi institusi Barat.

Pertemuan itu akan menjadi sebahagian daripada lawatan pertama Xi ke luar negara sejak bermulanya penularan pandemik COVID-19 dan ketegangan hubungan antara Rusia dengan Barat yang berpunca daripada konflik di Ukraine.

(Vladimir Putin dengan Presiden China Xi Jinping semasa pertemuan mereka diluar
sidang kemuncak BRICS, di Brasilia, Brazil, 13 November/File REUTERS)

"SCO menawarkan alternatif sebenar kepada organisasi berteraskan Barat," kata Penasihat Dasar Luar Rusia Yuri Ushakov kepada pemberita di sini.

"Semua ahli SCO berpegang pada ketertiban dunia yang adil," katanya sambil menyifatkan sidang kemuncak itu berlangsung berlatarbelakangkan perubahan geopolitik berskala besar.

SCO, katanya, "adalah organisasi terbesar di dunia, ia merangkumi separuh penduduk planet kita".

Putin akan mengadakan perbincangan dengan Xi, Presiden Iran Ebrahim Raisi dan Perdana Menteri Pakistan Shehbaz Sharif pada Khamis, kata Ushakov, sebelum menghadiri sesi utama sidang kemuncak itu pada hari Jumaat.

Pada hari Jumaat beliau juga akan bertemu dengan Perdana Menteri India Narendra Modi, Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan dan pemimpin Azerbaijan Ilham Aliyev.

"Pertemuan dengan Xi adalah amat penting, topik utama antarabangsa dan serantau akan dibincangkan, termasuk konflik di Ukraine dan hubungan ekonomi Rusia-China yang semakin meningkat," kata Ushakov. -AFP

Media Baharu