KIEV, 17 Mei- Serangan jarak jauh Ukraine ke atas pangkalan udara Belbek yang dikawal Moscow di Crimea yang diduduki, memusnahkan tiga pesawat pejuang Rusia dan kemudahan bahan api berhampiran landasan utamanya minggu ini, kata syarikat satelit komersial, AS Maxar.
Syarikat itu memetik imej satelit yang diambil pada Khamis menunjukkan bahawa dua jet pejuang MiG-31 dan sebuah jet pejuang Su-27 telah musnah.
Dalam pada itu, sebuah pesawat pejuang jenis MiG-29 juga kelihatan rosak.
Ukraine bagaimanapun tidak mengaku bertanggungjawab secara terbuka untuk menyerang pangkalan udara itu.
Kementerian pertahanan Rusia berkata pada Khamis bahawa Ukraine telah melancarkan serangan semalaman ke atas Crimea dan bahawa pasukan pertahanan udaranya telah memintas lima peluru berpandu jarak jauh yang dikenali sebagai ATACMS.
Pada Rabu, ia berkata Rusia telah memintas 10 ATACMS jarak jauh yang turut dilancarkan di Crimea, namun tidak melaporkan sebarang kerosakan terhadap kemudahan tentera dalam kedua-dua serangan.
Ukraine semakin terpaksa menggunakan dron dan peluru berpandu jarak jauh untuk menyerang sasaran strategik termasuk di semenanjung Crimea-Ukraine yang ditawan dan dirampas oleh tentera Rusia pada 2014.- REUTERS