ROM, 17 Mei- Sekumpulan negara Barat menulis surat pada Jumaat kepada negara haram Israel mendesak untuk mematuhi undang-undang antarabangsa di Gaza selain menangani krisis kemanusiaan yang dahsyat di Palestin.
Reuters yang menyaksikan surat itu menjelaskan bahawa negara dalam Kumpulan Tujuh (G7) seperti Australia, Korea Selatan, New Zealand, Belanda, Denmark, Sweden dan Finland kecuali Amerika Syarikat, telah menandatangani surat berkenaan.
Surat setebal lima muka surat itu dikeluarkan ketika tentera Israel mengecam bandar Rafah di selatan Gaza sebagai sebahagian daripada usahanya untuk menghapuskan Hamas, walaupun amaran itu boleh mengakibatkan kematian beramai-ramai.
Selain itu, rakyat Palestin terdedah dengan risiko kehilangan tempat tinggal dan perlindungan.
"Dalam menggunakan haknya untuk mempertahankan diri, Israel mesti mematuhi sepenuhnya undang-undang antarabangsa, termasuk undang-undang kemanusiaan antarabangsa," kata surat itu.
Israel menafikan tindakannya menghalang bantuan kemanusiaan dan berkata ia perlu bagi menghapuskan Hamas untuk perlindungan diri sendiri.
Negara-negara Barat berkata mereka menentang "operasi ketenteraan berskala penuh di Rafah" dan menyeru Israel untuk membenarkan bantuan kemanusiaan sampai kepada penduduk melalui semua persimpangan yang berkaitan termasuk yang di Rafah.
"Menurut anggaran PBB, serangan ketenteraan yang dipergiatkan akan menjejaskan kira-kira 1.4 juta orang," kata surat itu, menekankan keperluan untuk langkah-langkah khusus dalam meningkatkan aliran bantuan dengan ketara.
Ia termasuk membenarkan lebih banyak trak bantuan masuk ke Semenanjung Gaza, pembukaan semula laluan Erez ke utara Gaza dan penggunaan sementara pelabuhan Ashdod di selatan Israel.
Tetapi ia menggesa kerajaan Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu untuk berbuat lebih banyak termasuk berusaha ke arah "gencatan senjata yang mampan", memudahkan pemindahan selanjutnya dan menyambung semula "perkhidmatan elektrik, air dan telekomunikasi".
Sejak 7 Oktober, serangan Israel di Gaza telah membunuh lebih 35,000 rakyat Palestin.- REUTERS