KIEV, 22 Jun -Rusia melancarkan serangan peluru berpandu dan dron baharu dalam serangan semalaman ke atas Ukraine hari ini mengakibatkan kerosakan infrastruktur tenaga di tenggara dan barat negara itu serta mencederakan sekurang-kurangnya dua orang, kata pegawai Ukraine.
Pertahanan udara Ukraine menembak jatuh 12 daripada 16 peluru berpandu dan kesemua 13 dron yang dilancarkan oleh Rusia dalam serangan besar kedua minggu ini, kata tentera udara.
Amaran udara di wilayah Ukraine berlangsung selama beberapa jam di tengah malam.
Pengendali grid nasional Ukrenergo berkata peralatan di kemudahannya di wilayah Zaporizhzhia di tenggara dan wilayah Lviv di barat rosak akibat serangan itu.
Dua pekerja tenaga di wilayah Zaporizhzhia cedera dan dibawa ke hospital, katanya.
Gabenor Zaporizhzhia, Ivan Fedorov berkata kebakaran berlaku di kemudahan infrastruktur tenaga di wilayah itu dan penilaian kerosakan selanjutnya sedang dijalankan ketika pasukan pembaikan dan pekerja kecemasan menangani serangan itu.
“Kita boleh katakan dengan pasti: musuh tidak akan berhenti. Ukraine memerlukan sistem pertahanan udara,” kata Fedorov dalam aplikasi Telegram.
Moscow berkata serangan udaranya terhadap infrastruktur tenaga Ukraine adalah sebagai tindakan balas terhadap serangan dron Ukraine ke atas wilayah Rusia.
Gabenor wilayah Lviv, Maksym Kozytskyi berkata 67 anggota bomba dan 12 kenderaan khas terlibat dalam memadamkan kebakaran di wilayahnya di sempadan Poland, Ukraine.
Beliau berkata tiada kemalangan jiwa berlaku di wilayah Lviv.
Sejak Mac, tentera Rusia telah memperhebat pengeboman mereka terhadap sistem tenaga Ukraine, menyebabkan kira-kira separuh daripada kapasiti penjanaan yang ada di negara itu hilang dan menyebabkan masalah tenaga yang teruk.- REUTERS