KHARKIV, 18 Ogos - Tiga orang termasuk seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun terbunuh, manakala 17 lagi cedera dalam serangan udara Rusia di Kharkiv.
Menurut Gabenor Kharkiv, Oleh Synehubov, bedilan peluru berpandu pada malam Ahad disusuli serangan dron pada awal pagi Isnin.
Insiden tersebut mengorbankan kanak-kanak berkenaan di kawasan perumahan bandar kedua terbesar Ukraine itu.
Rakaman yang dikeluarkan Pejabat Pendakwa Raya Wilayah Kharkiv menunjukkan serpihan bangunan berselerak di sekitar apartmen.
Anggota penyelamat pula memeriksa kerosakan serta membantu mangsa yang cedera, termasuk seorang kanak-kanak.
Kharkiv, yang terletak di timur laut Ukraine berhampiran sempadan Rusia, sering menjadi sasaran peluru berpandu dan dron Rusia sejak Februari 2022.
Setakat ini, belum ada kenyataan rasmi daripada Moscow mengenai serangan berkenaan.
Kedua-dua pihak sebelum ini menafikan menyasarkan orang awam, namun ribuan penduduk terbunuh sejak perang tercetus. -REUTERS