YANGON, 18 Ogos - Junta Myanmar mengumumkan fasa pertama pilihan raya umum pelbagai parti akan bermula pada 28 Disember ini, meskipun negara itu masih dilanda perang saudara yang menjejaskan kawalan tentera di banyak kawasan.
Suruhanjaya Pilihan Raya Kesatuan Myanmar dalam kenyataan berkata, tarikh bagi fasa seterusnya akan diumumkan kemudian.
Myanmar terus bergolak sejak tentera merampas kuasa pada 2021 dengan menggulingkan kerajaan dipimpin Aung San Suu Kyi atas dakwaan penipuan pilihan raya yang tidak pernah dibuktikan.
Sebahagian besar wilayah kini ditadbir gerila prodemokrasi dan kumpulan etnik bersenjata yang berikrar akan menghalang penganjuran pilihan raya di kawasan mereka.
Perang saudara itu mengorbankan ribuan nyawa, menjerumuskan lebih separuh rakyat ke dalam kemiskinan dan menyebabkan lebih 3.5 juta orang menjadi pelarian.
Walaupun junta menyifatkan pilihan raya sebagai jalan keluar konflik, tokoh pembangkang utama masih dipenjara, termasuk Suu Kyi, manakala ramai ahli parlimen yang digulingkan memilih untuk memboikot.
Seorang pakar Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) menegaskan, pilihan raya itu hanyalah “penipuan” bagi menjenamakan semula pemerintahan tentera.
Ketua junta, Jeneral Min Aung Hlaing kini memegang jawatan sebagai pemangku presiden dan masih menguasai angkatan tentera yang memerintah sebahagian besar sejarah Myanmar sejak merdeka.
Penganalisis berpendapat, pilihan raya ini dijangka mengekalkan kuasa Min Aung Hlaing dalam kerajaan baharu, selain berpotensi mencetuskan perpecahan lebih besar dalam kalangan kumpulan penentang.
Sementara itu, bancian penduduk tahun lalu gagal merekodkan data 19 juta daripada 51 juta rakyat Myanmar, antara lain disebabkan kekangan keselamatan, memberi gambaran terbatasnya capaian pilihan raya yang dirancang itu. -AFP