fb fb fb fb fb

Aliran minyak Rusia ke Hungary terhenti ekoran serangan Ukraine

Menteri Luar Hungary, Peter Szijjarto/ Foto REUTERS

BUDAPEST, 18 Ogos - Aliran minyak mentah dari Rusia ke Hungary dihentikan susulan serangan Ukraine ke atas sebuah stesen transformer pada saluran paip Druzhba.

Perkara itu dimaklumkan oleh Menteri Luar Hungary, Peter Szijjarto menerusi hantaran di Facebook, tanpa memberikan sebarang butiran mengenai lokasi atau masa serangan itu berlaku.

"Serangan terbaharu terhadap keselamatan tenaga kami ini adalah sesuatu yang keterlaluan dan tidak dapat diterima," tulis Szijjarto.

Menurut Szijjarto, beliau telah berbincang dengan Timbalan Menteri Tenaga Rusia, Pavel Sorokin yang memaklumkan bahawa pakar sedang berusaha memulihkan stesen transformer tersebut.

Masih belum jelas bila penghantaran minyak akan disambung semula.

Hungary mengimport sebahagian besar minyak mentahnya melalui saluran paip Druzhba yang mengangkut minyak mentah Rusia melalui Belarus dan Ukraine ke Hungary serta Slovakia.

Kementerian Pertahanan dan Angkatan Tentera Ukraine, serta syarikat minyak Hungary, MOL belum memberikan sebarang komen.

Kilang penapisan Slovnaft di Slovakia yang turut menerima minyak mentah Rusia melalui saluran paip yang sama, juga belum mengeluarkan sebarang kenyataan.

Berbeza dengan kebanyakan negara lain dalam Kesatuan Eropah, Hungary terus mengekalkan hubungan politik dan perniagaan yang rapat dengan Rusia, serta masih bergantung kepada tenaga dari negara itu sejak pencerobohan Moscow ke atas Ukraine pada Februari 2022.

Tahun lalu, Szijjarto menyatakan bahawa saluran paip Druzhba akan kekal sebagai laluan utama bagi import minyak mentah ke Hungary. -REUTERS

MASNIZA AWANG KECHIK