fb fb fb fb fb

AS gesa Israel patuh pelan pelucutan senjata Hizbullah

Utusan Amerika Syarikat, Thomas Barrack/ Foto REUTERS

BAABDA, 18 Ogos - Israel digesa mematuhi pelan yang menuntut kumpulan Hizbullah melucutkan senjata menjelang akhir tahun ini sebagai pertukaran kepada penamatan operasi ketenteraan rejim Zionis di Lubnan.

Utusan Amerika Syarikat, Thomas Barrack menegaskan, kini tiba giliran Israel untuk bekerjasama.

"Selalu ada pendekatan langkah demi langkah, tetapi saya fikir kerajaan Lubnan telah memainkan peranan mereka. Mereka telah mengambil langkah pertama. Kini apa yang kita perlukan ialah Israel menyambut usaha itu secara adil," kata Barrack kepada pemberita selepas bertemu Presiden Lubnan, Joseph Aoun.

Pelan itu menggariskan satu peta damai berperingkat untuk Hizbullah menyerahkan senjata mereka, manakala tentera Israel menghentikan operasi darat, udara dan laut serta menarik balik tentera dari selatan Lubnan.

Barrack menggambarkan dekri kabinet itu sebagai satu "keputusan Lubnan yang memerlukan kerjasama Israel", sambil menyatakan bahawa Washinghton sedang berbincang dengan Israel mengenai pendirian mereka.

Bawah fasa pertama pelan tersebut, kerajaan Lubnan akan mengeluarkan keputusan rasmi yang komited terhadap perlucutan senjata Hezbollah sepenuhnya menjelang akhir tahun, manakala Israel akan menghentikan semua operasi ketenteraan di wilayah Lubnan.

Namun, Israel terus melancarkan serangan ke atas Lubnan sejak pelan itu diluluskan oleh kabinet.

Dalam satu kenyataan bertulis selepas pertemuan dengan Barrack, Aoun berkata, pihak-pihak lain kini perlu memberikan komitmen kepada kandungan peta damai tersebut.

Desakan agar Hizbullah melucutkan senjata semakin meningkat sejak perang dengan Israel tahun lalu yang mengorbankan 5,000 pejuang kumpulan itu, serta menyebabkan kemusnahan besar di selatan Lubnan.

Namun, Hizbullah enggan tunduk kepada tekanan dan menolak sebarang perbincangan mengenai senjata mereka, selagi Israel belum menghentikan serangan serta menarik balik tenteranya dari selatan Lubnan.

Jumaat lalu, Setiausaha Agung Hizbullah, Naim Qassem memberi amaran mengenai kemungkinan tercetusnya perang saudara. -REUTERS

MASNIZA AWANG KECHIK