TEHRAN, 18 Ogos - Iran akan menyambung semula rundingan dengan badan pemantau nuklear Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB).
Jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmaeil Baghaei memaklumkan, kedua-dua pihak dijangka mengadakan satu lagi pusingan perbincangan dalam masa terdekat.
"Keputusan mengenai pusingan rundingan seterusnya belum dibuat, tetapi kemungkinan besar akan ada satu lagi pusingan rundingan dalam beberapa hari akan datang," kata Baghaei kepada media kerajaan.
Pemeriksa Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) masih belum dapat mengakses tapak nuklear Iran sejak Israel dan Amerika Syarikat mengebom kemudahan tersebut semasa perang selama 12 hari pada Jun lalu.
Tehran mendakwa IAEA secara tidak langsung membuka jalan kepada serangan oleh Israel dan Amerika melalui satu laporan yang diterbitkan pada 31 Mei, yang membawa kepada pengisytiharan oleh Lembaga Gabenor IAEA bahawa Iran telah melanggar perjanjian penyebaran senjata. -REUTERS