GAZA CITY, 5 September – Beberapa penduduk Palestin terkorban dan cedera selepas khemah mereka terkena serangan udara Israel, menurut petugas perubatan.
Jurucakap tentera Israel memaklumkan rejim itu kini menguasai 40 peratus Bandar Gaza selepas mara ke pinggir luar bandar dan hanya beberapa kilometer dari pusat bandar.
Israel mendakwa operasi tersebut bertujuan memusnahkan terowong dan mengesan senjata, namun ribuan penduduk tetap bertahan walaupun diarahkan berpindah.
Serangan ke atas Bandar Gaza sejak 10 Ogos lalu dikatakan sebagai usaha menewaskan Hamas, namun ia mencetuskan kritikan antarabangsa ekoran krisis kemanusiaan yang semakin meruncing.
Perang bermula pada 7 Oktober 2023 apabila Hamas menyerang selatan Israel, membunuh kira-kira 1,200 orang dan membawa 251 tebusan ke Gaza. Sehingga kini, lebih 63,000 penduduk Palestin dilaporkan terbunuh akibat serangan balas Israel. -REUTERS