TOKYO, 5 September – Jepun dan Australia berikrar memperkukuh kerjasama dalam menangani cabaran keselamatan yang semakin meningkat di rantau Indo-Pasifik, termasuk membantu antara satu sama lain memindahkan warganegara yang berisiko di luar negara.
“Kami bersetuju untuk memperkukuh lagi keupayaan pencegahan bersama dan mengaktifkan perbincangan mengenai kemungkinan sebarang kontingensi yang boleh menjejaskan keselamatan kedua-dua negara dan rantau ini,” kata Menteri Luar Jepun, Takeshi Iwaya selepas mesyuarat di Tokyo bersama Menteri Pertahanan Jepun, Gen Nakatani, serta rakan sejawat mereka dari Australia, Penny Wong dan Richard Marles.
Jepun dan Australia, sekutu rapat Amerika Syarikat, mempererat hubungan ketika pengaruh China semakin berkembang di rantau itu.
Kerjasama mereka merangkumi latihan ketenteraan bersama serta Perjanjian Akses Timbal Balik yang ditandatangani pada 2023, membolehkan angkatan tentera kedua-dua negara beroperasi di wilayah masing-masing.
Bulan lalu, Jepun menandatangani perjanjian bersejarah bernilai A$10 bilion (AS$6.5 bilion) untuk membina kapal perang bagi Australia, menandakan penjualan pertahanan paling signifikan oleh Tokyo sejak menamatkan larangan eksport ketenteraan pada 2014. -REUTERS