fb fb fb fb fb

Serangan udara Israel ragut lima nyawa di Gaza, termasuk dua wartawan

Foto Reuters

KAHERAH, 15 Mac – Sekurang-kurangnya lima rakyat Palestin, termasuk dua wartawan tempatan, terbunuh dalam serangan udara Israel di bandar Beit Lahiya, utara Gaza, pada Sabtu.

Beberapa yang lain turut cedera, dengan mangsa mengalami kecederaan kritikal, menurut petugas perubatan kepada Reuters.

Serangan tersebut menyasarkan sebuah kenderaan, dengan korban dilaporkan berada di dalam dan di luar kenderaan tersebut.

Menurut saksi dan rakan wartawan, individu di dalam kereta itu sedang menjalankan misi untuk badan amal Al-Khair Foundation di Beit Lahiya.

Mereka ditemani oleh wartawan dan jurugambar ketika serangan berlaku.

Setakat ini, tentera Israel belum mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai insiden tersebut.

Insiden itu sekali lagi mencetuskan ketegangan dalam perjanjian gencatan senjata yang dimeterai pada 19 Januari, yang telah menghentikan pertempuran besar-besaran di Semenanjung Gaza.

Pegawai kesihatan Palestin mendakwa puluhan rakyat Palestin telah terbunuh akibat serangan Israel walaupun gencatan senjata masih berkuat kuasa.

Tentera Israel pula menyatakan bahawa tindakan mereka adalah untuk menghalang ancaman daripada "pengganas" yang menghampiri pasukan mereka atau cuba menanam bahan letupan di kawasan operasi.

Sejak fasa pertama gencatan senjata sementara tamat pada 2 Mac, Israel enggan membuka rundingan fasa kedua, yang melibatkan perbincangan mengenai pengakhiran perang secara kekal – tuntutan utama kumpulan pejuang Palestin, Hamas.

Insiden tersebut berlaku ketika Khalil Al-Hayya, Ketua Hamas di Gaza yang kini dalam buangan, berada di Kaherah untuk meneruskan rundingan gencatan senjata dengan perantara bagi menyelesaikan pertikaian dengan Israel.

Pada Jumaat, Hamas menyatakan kesediaan untuk membebaskan seorang tahanan berkewarganegaraan Amerika-Israel, sekiranya Israel bersetuju untuk memulakan fasa seterusnya rundingan ke arah penghentian perang secara kekal.

Namun, Israel menolak tawaran tersebut, menyifatkannya sebagai “perang psikologi”.

Hamas mendakwa tawaran itu dibuat bagi membebaskan Edan Alexander, seorang askar Israel berusia 21 tahun yang berasal dari New Jersey, selepas menerima cadangan daripada perantara bagi meneruskan rundingan fasa kedua gencatan senjata.

Israel pula menegaskan ia mahu melanjutkan fasa pertama gencatan senjata secara sementara, satu cadangan yang disokong oleh utusan Amerika Syarikat, Steve Witkoff.

Bagaimanapun, Hamas menegaskan pihaknya hanya akan meneruskan pembebasan tebusan di bawah fasa kedua rundingan.-REUTERS

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN