SANAA, 10 September- Serangan udara Israel di ibu kota Yaman, pada 10 September meragut nyawa 32 wartawan tempatan.
Insiden itu turut memusnahkan dua pejabat akhbar iaitu 26th September dan Al-Yemen di Dataran Tahrir.
Abdullah Al-Bahri, wartawan veteran yang bertugas di Agensi Berita Saba, antara yang terbunuh.
Bapa mangsa, Mahdi Al-Bahri berkata, Abdullah telah melaporkan operasi ketenteraan Israel di Gaza selama dua tahun dan mendedahkan jenayah Israel di wilayah itu yang disokong Amerika Syarikat.
“Kami hidup dalam ketakutan termasuk isteri, anak-anak dan seluruh keluarga. Namun dia tidak pernah mengelak tugas yang diberi.
Dia percaya melakukan kerja dengan baik lebih penting, walaupun berisiko kehilangan nyawa,” kata Mahdi.
Anak Abdullah, Bara’a Al-Bahri pula, masih sukar menerima kehilangan bapanya.
“Saya selalu ikut ayah ke agensi berita, ke pasar, ke mana-mana.
Dia belikan saya segala-galanya,” kata Bara’a.
Sejak genosid Gaza bermula Oktober 2023, kumpulan Houthi yang menguasai sebahagian besar barat laut Yaman melancarkan serangan ke Israel sebagai tanda solidariti dengan rakyat Palestin.
Israel pula membalas dengan serangan udara ke kawasan yang dikuasai Houthi. -REUTERS
