fb fb fb fb fb

Pelawak Hollywood kekal berani dengan jenaka politik

Pelawak Pink Foxx mempersembahkan jenaka di pentas Laugh Factory / Foto REUTERS

HOLLYWOOD, 18 September- Pelawak di Hollywood bertekad untuk terus menyampaikan jenaka politik provokatif, susulan penggantungan rancangan bual bicara Jimmy Kimmel.

Di kelab komedi Laugh Factory, pelawak Tehran Von Ghasri berkata, penggantungan rancangan itu membuatkan beliau lebih berani dan bertekad menentang status quo.

“Saya akan lebih berani. Dalam komedi, selalu ada perspektif politik. Dihukum kerana pandangan politik adalah perkara yang berlaku di negara-negara yang sedang mengalami penindasan dan kehilangan demokrasi. Saya tidak menyangka ia berlaku di Amerika Syarikat,” katanya.

Pelawak dan pelakon Dane Cook pula berkata, insiden itu mendorong pelawak lain untuk lebih yakin dan mengekalkan jenaka politik dengan semangat.

“Apabila pelawak rasa ditekan ia sebenarnya mencetuskan motivasi untuk memberikan segalanya dalam persembahan,” ujar beliau.

Pada Khamis, Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, meraikan penggantungan rancangan Jimmy Kimmel selepas beliau mengeluarkan jenaka tentang pembunuhan aktivis konservatif, Charlie Kirk.

Trump juga mencadangkan agar stesen televisyen kehilangan lesen jika memberi liputan negatif terhadap pentadbirannya. -REUTERS

FARIS IZZAT SHAHARUDIN