SANAA, 11 September - Sekurang-kurangnya 35 maut manakala 131 lagi cedera dalam serangan udara Israel di ibu negara Yaman, Sanaa, serta wilayah utara al-Jawf pada Rabu, menurut Kementerian Kesihatan yang dikendalikan Houthi.
Rakaman televisyen Al-Masirah memaparkan suasana huru-hara di kejiranan Al-Tahrir, dengan serpihan runtuhan memenuhi jalan, kenderaan rosak, serta orang ramai berkumpul membantu pasukan penyelamat dan sukarelawan mengeluarkan mangsa daripada timbunan bangunan yang musnah.
Reuters mengesahkan lokasi berkenaan melalui struktur bangunan, susun atur jalan dan kawasan sekitar yang sepadan dengan imej satelit serta rakaman terdahulu, manakala tarikh kejadian dipastikan menerusi laporan agensi itu dan kenyataan tentera Israel.
Serangan itu merupakan yang terbaharu dalam siri pertempuran antara Israel dan kumpulan Houthi di Yaman, susulan konflik berterusan di Gaza yang kini merebak ke rantau lain.- REUTERS