fb fb fb fb fb

Penyokong Trump, Charlie Kirk, maut ditembak

(Foto kiri) Aktivis kanan Amerika Syarikat, Charlie Kirk (kanan) bersama Presiden Donald Trump ketika acara America Fest 2024 di Phoenix, Arizona pada 22 Disember 2024. (Foto kiri) Rakaman video oleh Jeremy King menunjukkan pasukan keselamatan mengusung Kirk selepas beliau ditembak ketika acara umum di Universiti Utah Valley, Orem, Utah pada 10 September 2025/AFP

LOS ANGELES, 11 Septemper- Aktivis kanan dan pempengaruh politik, Charlie Kirk, yang juga penyokong Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, maut ditembak dalam satu insiden disifatkan sebagai "pembunuhan politik" di Universiti Utah Valley, semalam.

Trump mengesahkan kematian Kirk, 31 tahun, menerusi laman Truth Social dengan menyifatkan mendiang sebagai "hebat dan legenda."

Susulan itu, Trump mengarahkan bendera separuh tiang dikibarkan di semua bangunan kerajaan sehingga Ahad ini.

Rakaman video memperlihatkan Kirk rebah di kerusi ketika sedang menjawab soalan hadirin selepas kedengaran satu das tembakan yang dipercayai dilepaskan dari bumbung kampus.

Pengarah FBI, Kash Patel pada awalnya memaklumkan seorang suspek ditahan. Namun, beberapa jam kemudian beliau mengesahkan individu itu telah dibebaskan selepas disoal siasat dan siasatan masih diteruskan.

Gabenor Utah, Spencer Cox menyifatkan kejadian itu sebagai "hari yang tragis" untuk negara dan menegaskan ia adalah satu pembunuhan politik.

Beliau menggesa rakyat Amerika supaya menjauhi keganasan tatkala negara menghampiri ulang tahun ke-250 penubuhannya.

Kirk merupakan pengasas bersama Turning Point USA, sebuah gerakan konservatif yang berperanan besar melonjakkan sokongan anak muda kepada Trump.

Dengan pengaruh besar di media sosial, mendiang dikenali lantang memperjuangkan dasar anti-imigresen, kebebasan memiliki senjata api serta pandangan konservatif berlandaskan agama Kristian.

Kematian Kirk mengejutkan pelbagai pihak merentasi spektrum politik.

Naib Presiden JD Vance dan tokoh media kanan Tomi Lahren memuji sumbangan beliau, manakala pemimpin Demokrat termasuk bekas Presiden Joe Biden, Naib Presiden Kamala Harris dan Gabenor California Gavin Newsom mengutuk serangan tersebut serta menegaskan keganasan politik tidak boleh dibiarkan berakar di Amerika Syarikat.

Bekas ahli kongres Gabrielle Giffords yang pernah terselamat daripada cubaan bunuh turut menzahirkan rasa ngeri terhadap insiden itu dengan menekankan bahawa perbezaan politik tidak seharusnya diselesaikan melalui keganasan. -AFP

SITI AISHAH BINTI MD ISA