fb fb fb fb fb

NASA temui petunjuk kemungkinan wujud kehidupan purba di Marikh

FOTO NASA

WASHINGTON, 11 September - Sampel batuan yang diambil rover Perseverance (kenderaan robotik) NASA dari dasar tasik purba di Marikh mengandungi tanda berpotensi kehidupan mikrob kuno, menurut saintis.

Namun begitu, mereka menjelaskan mineral yang ditemui itu juga boleh terbentuk melalui proses bukan biologi.

Dalam sidang media maya, Pemangku Pentadbir NASA, Sean Duffy berkata pasukan sains NASA telah menguji data daripada batuan yang digelar “leopard-spotted” di Kawasan Bright Angel, Kawah Jezero, sejak 2024.

“Selepas setahun kajian, mereka menyimpulkan tiada penjelasan lain. Ia adalah tanda paling jelas kehidupan yang pernah kita temui di Marikh, meskipun dapatan ini masih bersifat sementara,” katanya.

Sementara itu, Nicky Fox, Pentadbir Bersekutu NASA bagi Pengarahat Misi Sains, menyifatkan penemuan tersebut sebagai satu langkah lebih dekat menjawab persoalan sama ada manusia sendirian di alam semesta.

Katanya, tekstur berbintik pada batuan yang mula dirakam Julai tahun lalu menarik perhatian segera pasukan penyelidik dan mendorong ujian intensif bagi menolak kemungkinan faktor bukan biologi.

“Kami percaya corak itu berpotensi dihasilkan oleh sejenis kehidupan purba,” jelasnya.

Menurut kajian diterbitkan dalam jurnal Nature diketuai ahli sains planet Joel Hurowitz dari Universiti Stony Brook, instrumen SHERLOC Perseverance mengesan tanda spektrum konsisten dengan bahan organik pada batu lumpur di Bright Angel.

Ia termasuk mineral vivianite (fosfat besi) dan greigite (sulfida besi) yang biasanya dikaitkan dengan tindak balas kimia antara lumpur kaya besi dan bahan organik selepas pemendapan di dasar tasik purba.

“Apabila corak seumpama ini dilihat pada sedimen di Bumi, ia sering merupakan hasil metabolisme mikrob yang memakan bahan organik,” jelas Hurowitz, namun menegaskan kemungkinan laluan abiotik tidak dapat ditolak sepenuhnya hanya dengan data rover.

Sampel itu, dinamakan “Sapphire Canyon”, dikutip pada Julai 2024 di kawasan Neretva Vallis, saluran sungai purba yang pernah mengalir ke Kawah Jezero lebih 3.5 bilion tahun lalu.

Sejak mendarat pada 2021, rover Perseverance terus meninjau sedimen dan delta kawah itu untuk mencari bukti kebolehdiami dan biosignatur, sambil mengumpul sampel terpilih untuk berpotensi dibawa pulang ke bumi. -REUTERS

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE