RIYADH, 10 September - Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman mengecam dan menolak sekeras-kerasnya tindakan serangan Israel di rantau ini, termasuk serangan terbaharu pada Selasa ke atas Doha, Qatar.
“Pencerobohan kejam terhadap negara sahabat Qatar memerlukan tindakan segera dunia Arab, Islam dan antarabangsa,” katanya dalam ucapan disiarkan televisyen.
Beliau menegaskan Arab Saudi berdiri teguh bersama Qatar dalam apa jua langkah yang diambil bagi mempertahankan kedaulatan negara itu.
“Kami akan menumpukan segala kemampuan untuk menyokong usaha Qatar dan menggesa masyarakat antarabangsa mengambil tindakan tegas bagi menghentikan kuasa pendudukan serta mengekang amalan jenayah mereka yang mengancam keselamatan dan kestabilan rantau ini,” katanya.-REUTERS
