BEIRUT, 15 September - Kementerian Kesihatan Lubnan memaklumkan seorang maut dalam serangan udara Israel di selatan negara itu pada Ahad, kawasan yang sering menjadi sasaran pergerakan Hezbollah.
“Serangan rejim Zionis ke atas sebuah kereta di bandar Burj Qalawiyah mengorbankan seorang mangsa,” kata kementerian itu dalam kenyataan.
Jumaat lalu, seorang lagi turut terbunuh dalam serangan Israel di bandar Aitaroun, juga terletak di selatan Lubnan.
Walaupun gencatan senjata yang dipersetujui November lalu menamatkan lebih setahun pertempuran, tentera Israel masih meneruskan serangan terhadap Hezbollah.
Bawah tekanan Amerika Syarikat dan bagi mengelakkan serangan Israel semakin memuncak, kerajaan Lubnan kini bergerak untuk melucutkan senjata Hezbollah.
Kumpulan itu sebelum ini menguasai politik Lubnan dan dianggap lebih bersenjata daripada tentera negara tersebut, namun telah dilemahkan akibat perang dengan Israel.
Menurut kerajaan di Beirut, tentera Lubnan mesti menyelesaikan pelucutan senjata Hezbollah di kawasan berhampiran sempadan Israel dalam tempoh tiga bulan. - AFP
