fb fb fb fb fb

Bantah penyertaan pasukan Israel, perlumbaan Vuelta a Espana dihentikan

Demonstrasi itu menyasarkan pasukan Israel-Premier Tech berikutan tindakan Israel di Gaza. / Foto REUTERS

MADRID, 15 September - Perlumbaan berbasikal Vuelta a Espana terpaksa dihentikan pada aksi penutup pada Ahad, selepas tercetus bantahan ke atas penyertaan pasukan Israel.

Penunjuk perasaan merempuh halangan besi dan memenuhi laluan perlumbaan, memaksa pihak polis bertindak menghalang.

Susulan itu, penganjur mengumumkan perlumbaan tamat lebih awal dan membatalkan majlis penyampaian hadiah, sekali gus menyaksikan pelumba Denmark, Jonas Vingegaard, diisytiharkan juara dari dalam kereta pasukannya.

Terdahulu, Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez menyatakan “kagum dengan rakyat Sepanyol yang bangkit memperjuangkan sebab-sebab yang adil seperti Palestin” melalui protes semasa perlumbaan.

Demonstrasi itu menyasarkan pasukan Israel-Premier Tech berikutan tindakan Israel di Gaza, dengan beberapa pelumba sebelum ini mengugut menarik diri selepas laluan perlumbaan disekat hingga mengakibatkan kemalangan.

Perang Israel di Gaza telah mencetuskan gelombang bantahan di seluruh dunia termasuk memberi kesan kepada beberapa acara sukan.

Sanchez sebelum ini lantang mengkritik Israel dan menyifatkan serangan ke atas Gaza sebagai pembunuhan beramai-ramai.

Minggu ini, Sanchez turut mengumumkan sekatan minyak dan senjata ke atas Israel, tindakan yang disusuli dengan tuduhan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu bahawa beliau bersikap anti-Semitik serta mengeluarkan ancaman genosid. - REUTERS

SITI NUR DIATIE BINTI ZAIDI