(Paul Pelosi/Foto fail Reuters)
PHILADELPHIA, 29 Oktober- Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden menyifatkan serangan terhadap suami Speaker Dewan Rakyat AS, Nancy Pelosi pada Jumaat sebagai tindakan yang 'mengejikan'.
Menurutnya, semua orang perlu bangkit menentang keganasan dalam politik.
"Setiap orang yang berhati nurani baik jelas menentang keganasan dalam politik, tidak kira apa politik dan ia tidak boleh dibiarkan," kata Biden dalam ucapan di Philadelphia.
Semalam, seorang penceroboh menyerang Paul Pelosi, 82, menggunakan tukul menyebabkan tengkorak mangsa mengalami keretakan, selepas kediaman pasangan itu dipecah masuk di California.
Serangan tersebut mencetuskan kebimbangan mengenai keganasan politik menjelang pilihan raya pertengahan penggal, pada 8 November.
(Joe Biden/Foto Reuters)
Susulan kejadian, David Depape, 42, ditahan atas tuduhan cubaan membunuh, menyerang dengan senjata maut, penderaan warga emas dan pecah rumah.
Sementara itu, jurucakap speaker dewan dalam satu kenyataan memaklumkan, Paul sudah menjalani pembedahan untuk keretakan tengkorak serta kecederaan pada lengan dan tangan.
Doktor menjangkakan suami pemimpin Demokrat itu mampu pulih sepenuhnya.-REUTERS