(Foto hiasan/Reuters)
AMERIKA SYARIKAT, 29 Oktober- Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres pada Jumaat menyeru semua pihak melakukan segala usaha untuk melanjutkan perjanjian mengenai eksport bijirin Ukraine, termasuk memudahkan penghantaran bijirin Rusia.
Perjanjian Laut Hitam yang ditandatangani pada Julai oleh PBB, Ukraine, Rusia dan Turkiye telah membenarkan lebih sembilan juta tan bijirin Ukraine dieksport.
Ini mengurangkan krisis makanan global yang disebabkan oleh perang, walaupun ketidakpastian sama ada perjanjian akan bertahan telah pun membawa kepada kenaikan harga.
Kekeliruan itu datang daripada kenyataan Rusia yang membidas ketidakupayaan mereka untuk mengeksport bijirin dan baja sendiri sebagai sebahagian daripada perjanjian kedua.
Perjanjian awal ditetapkan untuk berlangsung selama 120 hari, dengan pilihan untuk pembaharuan pada 19 November "jika tiada pihak membantah," kata jurucakap Guterres Stephane Dujarric, semalam.
"Kami menggesa semua pihak melakukan segala usaha untuk memperbaharui Inisiatif Bijian Laut Hitam dan melaksanakan kedua-dua perjanjian sepenuhnya, termasuk penyingkiran segera sebarang halangan yang tinggal kepada eksport bijirin dan baja Rusia," katanya dalam satu kenyataan.
"Kami tidak memandang rendah cabaran, tetapi kami tahu ia boleh diatasi.
"Kerajaan, syarikat perkapalan, peniaga bijirin dan baja serta petani di seluruh dunia kini mencari kejelasan mengenai masa depan,” tambah kenyataan itu.
(Antonio Guterres/Foto fail AFP)
Moscow mendakwa mereka tidak dapat menjual bajanya kerana sekatan Barat.
Duta Rusia ke PBB, Vassily Nebenzia memberitahu pemberita pada Khamis bahawa eksport Rusia mesti dibenarkan sebelum Moscow akan memberi komitmen untuk melanjutkan perjanjian itu.
"Saya sudah lama katakan bahawa halangan tetap sama," katanya.
Awal minggu ini, Setiausaha Negara AS, Antony Blinken meramalkan bahawa keputusan oleh Moscow untuk meninggalkan perjanjian bijirin akan disambut dengan "kemarahan besar" oleh negara-negara di seluruh dunia.-AFP