fb fb fb fb fb

Serangan terbaharu Israel di Gaza, ragut 15 nyawa

Foto Reuters

KAHERAH, 1 Disember- Sekurang-kurangnya 15 nyawa terkorban di Gaza dalam serangan tentera udara Israel, pada Ahad.

Tindakan kejam itu dilakukan ketika tentera rejim Zionis menggempur seluruh wilayah itu dan meletupkan rumah-rumah di kawasan utara.

Menurut pegawai perubatan, enam terbunuh di kem Nuseirat, di tengah Gaza manakala tiga lagi terkorban dalam serangan terhadap sebuah kediaman di Bandar Gaza.

"Dua kanak-kanak terbunuh apabila peluru berpandu mengenai khemah di Khan Younis, selatan Gaza, sementara empat lagi mangsa terkorban dalam serangan udara di Rafah, berhampiran sempadan dengan Mesir," kata pegawai kepada Reuters.

Penduduk tempatan melaporkan bahawa tentera Israel telah meletupkan kelompok rumah di kawasan utara Gaza seperti Jabalia, Beit Lahiya dan Beit Hanoun, lokasi operasi tentera yang berterusan sejak Oktober tahun ini.

Penduduk Palestin mendakwa tindakan Israel di kawasan utara Gaza merupakan sebahagian daripada rancangan untuk mengosongkan penduduk melalui pemindahan paksa dan pengeboman bagi mewujudkan zon penampan.

Tentera Israel bagaimanapun menafikan tuduhan itu, dengan menyatakan mereka telah membunuh ratusan pejuang Hamas di kawasan tersebut dalam usaha menghentikan kumpulan itu daripada mengatur semula serangan.

Sementara itu, dua tahanan Palestin dilaporkan meninggal dunia dalam tahanan Israel pada Ahad.

Ini menjadikan jumlah kematian tahanan sejak permulaan perang meningkat kepada 47 orang, menurut kumpulan advokasi tahanan.

Dalam perkembangan berkaitan, pemimpin Hamas mengadakan perbincangan di Kaherah dengan pegawai keselamatan Mesir untuk meneroka kemungkinan mencapai perjanjian dengan Israel yang boleh membebaskan tebusan sebagai pertukaran untuk tahanan Palestin.

Kunjungan tersebut merupakan yang pertama sejak Amerika Syarikat mengumumkan pada Rabu bahawa mereka akan menghidupkan kembali usaha bersama Qatar, Mesir dan Turki, untuk merundingkan gencatan senjata di Gaza.

Hamas menggesa persetujuan yang dapat menamatkan perang, namun Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, menyatakan perang hanya akan berakhir apabila Hamas dihapuskan sepenuhnya.

Setakat ini, keganasan rejim Israel di Gaza telah menyebabkan lebih 44,300 kematian dan hampir seluruh populasi Gaza kehilangan tempat tinggal.- REUTERS

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM