LONDON, 1 Disember- Perdana Menteri Britain, Keir Starmer dijangka mengemukakan butiran terperinci mengenai sasaran utama kerajaan dalam bidang pertumbuhan ekonomi, penjagaan kesihatan, jenayah dan tenaga hijau pada minggu akan datang.
Pembentangan itu dibuat bersempena dengan pemerintahan partinya yang kini menghampiri usia lima bulan memegang kuasa.
Parti Buruh memperoleh majoriti besar di Dewan Rakyat pada pilihan raya Julai lalu, menamatkan 14 tahun pemerintahan Parti Konservatif.
Bagaimanapun, beberapa tinjauan pendapat terkini menunjukkan Parti Buruh kini berada sedikit di belakang Parti Konservatif.
Starmer menyatakan akan mengumumkan "rancangan perubahan" bagi mencapai matlamat seperti pertumbuhan ekonomi berterusan yang terpantas dalam kalangan negara Kumpulan Tujuh (G7), mengurangkan separuh jenayah ganas serius, menurunkan bil tenaga dan meningkatkan sistem penjagaan kesihatan awam.
“Kerajaan berorientasikan misi. Bukanlah sekadar memilih sasaran yang mudah atau yang akan tercapai dengan sendirinya. Ia bermaksud bekerja keras untuk membawa perubahan sebenar kepada kehidupan rakyat,” kata Starmer dalam kenyataan yang dikeluarkan pejabatnya.
Pejabat Starmer juga menyatakan bahawa menteri dan pegawai kerajaan akan diarahkan untuk memberi tumpuan kepada sasaran tersebut, melebihi keutamaan tradisional kementerian masing-masing.
Sementara itu, Menteri kanan Parti Buruh, Pat McFadden berkata rancangan tersebut akan turut merangkumi isu imigresen, yang menjadi keprihatinan utama pengundi berdasarkan tinjauan.
Dalam pada itu, menurut Menteri Kewangan Britain, Rachel Reeves, pentadbiran Starmer menghadapi cabaran besar sejak mengambil alih kuasa.
Ini meliputi tanggungjawab kerajaan terdahulu yang menyembunyikan masalah seperti sistem penjara dan imigresen, menyumbang kepada kekurangan kewangan sebanyak 22 bilion pound ($28 bilion).
Namun, Parti Konservatif menafikan tuduhan itu dan mendakwa banyak kos tersebut adalah hasil keputusan Parti Buruh, termasuk menaikkan gaji pekerja sektor awam.- REUTERS