fb fb fb fb fb

Serangan terbaharu Israel, boleh jejaskan rundingan gencatan senjata

Serangan udara Israel di Kota Gaza/ REUTERS

KAHERAH, 8 Julai– Serangan terbaharu Israel ke atas Gaza, boleh menjejaskan proses rundingan gencatan senjata pada saat genting ini, kata pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh, ketika kereta kebal Israel memasuki Kota Gaza dan mengarahkan penduduk berpindah selepas pengeboman besar-besaran.

Penduduk memaklumkan, serangan udara dan artileri itu antara yang paling buruk dalam tempoh sembilan bulan konflik antara tentera Israel dan pejuang Hamas di kawasan itu. Beribu-ribu orang telah melarikan diri.

Serangan berlaku ketika pegawai kanan Amerika Syarikat (AS) berada di rantau itu, bagi mendesak gencatan senjata selepas Hamas membuat konsesi besar minggu lalu.

Kumpulan pejuang Islam itu berkata serangan terbaharu itu bertujuan untuk menggagalkan rundingan.

"Serangan boleh membawa proses rundingan kembali ke titik permulaan. Netanyahu dan tenteranya akan memikul tanggungjawab penuh atas kegagalan proses ini," kata pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh.

Kota Gaza yang terletak di utara wilayah Palestin, salah satu sasaran pertama Israel pada awal permulaan konflik, Oktober tahun lalu. Namun, pertempuran berterusan di kawasan tersebut memaksa orang awam mencari perlindungan di tempat lain. Sebahagian besar kota Gaza turut musnah.

Penduduk berkata kawasan kejiranan Gaza dibom sepanjang malam hingga awal pagi Isnin. Beberapa bangunan bertingkat telah musnah.

Semalam, rejim zionis mengeluarkan arahan pemindahan di kawasan sekitar Kota Gaza melibatkan Sabra, Rimal, Tel Al-Hawa dan Daraj serta memaklumkan penduduk supaya berpindah ke Deir al-Balah di tengah Gaza. Tentera Israel berkata laluan akan dibuka kepada penduduk untuk berpindah.

Sementara itu, Perkhidmatan Kecemasan Awam Gaza berkata berpuluh-puluh orang terbunuh dan tidak dapat menghubungi mereka kerana serangan berterusan.

Kementerian Kesihatan Gaza menerusi kenyataan berkata, sekurang-kurangnya 38,193 rakyat Palestin terbunuh dan 87,903 cedera dalam serangan tentera Israel, dalam tempoh konflik Israel-Palestin.

Manakala, seramai 40 rakyat Palestin terbunuh dalam tempoh 24 jam lalu.-REUTERS

ROSLINA BINTI DIN