fb fb fb fb fb

Lombong emas runtuh di Sulawesi, angka kematian meningkat 23 orang

Pasukan penyelamat membawa keluar mangsa runtuhan lombong di Sulawesi semalam/ AFP

JAKARTA, 9 Julai- Angka kematian akibat tanah runtuh berhampiran lombong emas haram di pulau tengah Sulawesi, Indonesia meningkat kepada 23 orang, manakala 35 orang lagi dilaporkan masih hilang.

Insiden tanah runtuh tersebut berlaku di sebuah kampung terpencil di daerah Bone Bolango wilayah Gorontalo pada lewat Sabtu kerana hujan lebat.

Pegawai agensi mencari dan menyelamat Gorontalo, Ida Bagus Nyoman Ngurah Asrama memberitahu seramai 66 orang mangsa terselamat dan 35 orang sedang dikesan.

Beliau berkata lebih 270 orang anggota, termasuk pegawai polis dan tentera, telah dikerahkan sebagai sebahagian daripada operasi menyelamat sejak dua hari lalu.

Semalam, sebanyak 11 kematian dilaporkan.

Seorang pegawai mencari dan menyelamat turut memaklumkan, sesetengah mangsa adalah pelombong, manakala sebahagian lagi merupakan peniaga gerai berhampiran lombong itu.

"Kenderaan masih tidak dapat sampai ke kawasan bencana kerana beberapa jambatan runtuh dan anggota penyelamat terpaksa berjalan kaki", kata Ida.

Lombong tidak berlesen adalah perkara biasa di seluruh kepulauan Asia Tenggara yang kaya dengan mineral. Lombong terbiar menarik penduduk tempatan untuk menjalankan kegiatan melombong tanpa peralatan keselamatan yang sesuai.

Indonesia terdedah kepada tanah runtuh semasa musim hujan antara November dan April. Namun pada Julai lazimnya musim kemarau dan hujan lebat jarang berlaku.

Pada Mei lalu, sekurang-kurangnya 15 orang maut selepas tanah runtuh dan banjir di wilayah Sulawesi Selatan serta menghanyutkan berpuluh-puluh rumah dan merosakkan jalan raya.

Sebulan sebelum itu, kejadian tanah runtuh di wilayah yang sama yang turut mengorbankan 20 nyawa.-AFP

 

ROSLINA BINTI DIN