MEXICO CITY, 21 Mei- Dua pembantu kanan kepada Datuk Bandar Mexico City, Clara Brugada, termasuk setiausaha peribadinya, maut ditembak dalam satu serangan oleh lelaki bermotosikal di tengah-tengah ibu kota pada Selasa, menurut pihak berkuasa.
Mangsa dikenali sebagai Ximena Guzman, setiausaha peribadi Brugada dan Jose Munoz, penasihat politik beliau.
Menurut kenyataan dikeluarkan Brugada, pihak berkuasa sedang menyiasat motif kejadian dan meneliti rakaman kamera litar tertutup bagi mengenal pasti suspek.
“Tiada ruang untuk kebal dari undang-undang. Pihak bertanggungjawab akan ditahan dan dibawa ke muka pengadilan,” tegas beliau.
Pakar forensik dilihat mengumpul bahan bukti di lokasi kejadian, manakala anggota polis mengawal kawasan sekitar.
Kedua-dua mangsa adalah ahli Parti Morena, parti yang sama dipimpin Presiden Claudia Sheinbaum dan juga parti pemerintah Mexico City.
Presiden Sheinbaum mengecam pembunuhan itu sebagai amat kejam dan menyatakan sokongan penuh kepada Brugada serta pasukannya.
“Saya ucapkan takziah. Guzman dan Munoz telah lama berkhidmat dalam gerakan politik kami,” kata Sheinbaum, sambil menambah bahawa siasatan dengan kerjasama kerajaan persekutuan sedang dijalankan untuk mengenal pasti motif serangan.
Sejak tahun 2006, dianggarkan lebih 480,000 orang telah dibunuh di Mexico, kebanyakannya berkait jenayah terancang dan kartel dadah.
Walaupun keganasan kartel semakin menjadi-jadi di kawasan luar bandar dan sempadan negara itu, ibu kota Mexico City biasanya lebih stabil dan jarang berlaku insiden berprofil tinggi seperti ini.
Namun kejadian tembakan terhadap pegawai awam bukanlah yang pertama. Pada Jun 2020, ketua keselamatan Mexico City ketika itu, Omar Garcia Harfuch, terselamat dalam serangan oleh kumpulan bersenjata berat yang mengorbankan dua pengawal peribadinya serta seorang orang awam.
Harfuch, yang kini berkhidmat sebagai Menteri Keselamatan Kebangsaan di bawah pentadbiran Sheinbaum, menuduh serangan itu didalangi Kartel Jalisco Generasi Baharu, yang telah diisytihar sebagai organisasi pengganas oleh Presiden AS, Donald Trump.-AFP