NEW YORK, 12 September- Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres mengesahkan enam petugas Agensi Bantuan Pelarian Palestin PBB (UNRWA) terbunuh dalam serangan udara Israel di sebuah sekolah di Gaza semalam.
"Enam rakan sekerja kami dari UNRWA antara yang terbunuh," katanya menerusi hantaran di platform media sosial X hari ini.
Beliau berkata serangan di Sekolah Al-Jawni di Nuseirat yang menjadi tempat berlindung bagi sekitar 12,000 orang adalah satu tindakan yang tidak boleh diterima
"Apa yang berlaku di Gaza benar-benar tidak dapat diterima," tambahnya.
Guterres turut menggesa agar "pencabulan dramatik terhadap undang-undang kemanusiaan antarabangsa" dihentikan segera.
Sementara itu UNRWA memaklumkan bahawa ia adalah angka kematian tertinggi dalam satu insiden melibatkan kakitangannya.
Sekolah Al-Jawni dilapor telah diserang oleh Israel sebanyak lima kali sejak perang bermula pada 7 Oktober tahun lepas.
Ia kini menempatkan beribu-ribu orang yang kehilangan tempat tinggal, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.
Serangan semalam turut membunuh sekurang-kurangnya 14 penduduk, menurut Agensi Pertahanan Awam Gaza. -AFP
BERITA BERKAITAN