Gaza, 12 September- Serangan udara Israel yang menyasarkan sebuah sekolah di tengah Gaza semalam membunuh sekurang-kurangnya 14 orang, menurut Agensi Pertahanan Awam Gaza.
Sekolah Al-Jawni di Nuseirat dijadikan tempat perlindungan sementara bagi mereka yang kehilangan tempat tinggal akibat peperangan.
Ketika ia diserang terdapat lebih 5,000 orang sedang berlindung di bangunan sekolah terbabit.
Al-Jawni dilapor telah diserang sekurang-kurangnya lima kali sepanjang 11 bulan peperangan yang tercetus pada 7 Oktober tahun lepas.
Jumlah kematian akibat kempen ketenteraan Israel di Gaza sudah mencecah lebih 41,000 orang dengan kebanyakannya adalah wanita dan kanak-kanak. -AFP