NEW YORK, 12 September- Kamala Harris dari Parti Demokrat dilihat lebih menguasai sesi debat presiden yang diadakan di Philadelphia semalam berbanding Donald Trump dari Parti Republikan, yang mana kedua-dua mereka bersaing untuk pemilihan presiden Amerika Syarikat (AS).
Debat presiden yang "hangat" itu disiarkan menerusi siaran ABC News, membincangkan isu utama seperti pengguguran anak dan dakwaan palsu tentang pendatang asing.
Harris menyerang Trump mengenai pendirian beliau terhadap hak wanita untuk menggugurkan kehamilan dan menuduhnya mempolitikkan isu tersebut.
Trump pula menyebarkan dakwaan tidak berasas bahawa pendatang asing memakan haiwan peliharaan yang kemudian dibetulkan oleh moderator.
Dalam pada itu, Trump turut mendakwa bahawa debat yang disiarkan oleh ABC News telah diatur dan dirancang secara tidak adil untuk memihak kepada Harris.
Beliau membuat dakwaan berkenaan tanpa menyediakan bukti yang menyokongnya.
"Itu adalah urusan yang diprogramkan, seperti yang saya sangka, kerana mereka membetulkan segala-galanya tetapi tidak membetulkan kesilapan yang dibuat oleh beliau," adu Trump — merujuk kepada penolakan moderator terhadap beberapa kenyataan palsunya.
Trump juga kelihatan tidak pasti mengenai seruan daripada kempen Harris untuk mengadakan debat kedua.
Pada awalnya, beliau mengungkapkan keraguan di media sosial dengan bertanya "mengapa saya perlu buat perlawanan semula?" namun kemudian menyatakan kesediaan untuk menyertai dua lagi debat.
Debat tersebut ditonton oleh 67 juta rakyat Amerika iaitu lebih tinggi berbanding 51.3 juta penonton debat terdahulu pada Jun yang dianggap persembahan buruk dan menyebabkan Presiden Joe Biden menarik diri daripada persaingan pilihan raya presiden.
Kaji selidik pantas oleh CNN menunjukkan bahawa 63% penonton berpendapat Harris tampil lebih baik daripada Trump berbanding 37% yang menyokong Trump.
Tinjauan oleh YouGov pula menunjukkan bahawa 43% penonton percaya Harris mengemukakan rancangan yang lebih jelas berbanding 32% untuk Trump.
Secara keseluruhan media dan pengulas di AS umumnya bersetuju bahawa Harris keluar sebagai pemenang dalam debat tersebut.
Bagaimanapun keputusan berkenaan mungkin tidak banyak mempengaruhi pengundi yang sangat terbahagi dan berpegang pada pendirian mereka.
Harris dijadual akan menuju ke North Carolina dan Trump akan berkempen di Arizona. Kedua-dua negeri berkenaan antara enam negeri yang dianggap penting dalam menentukan keputusan akhir pilihan raya. -AFP