fb fb fb fb fb

Empangan pecah: 30 maut, 400,000 dipindahkan di Nigeria

Pandangan udara menunjukkan rumah-rumah yang ditenggelami air di Maiduguri pada 10 September lepas/AFP

MAIDUGURI, 12 September- Banjir yang teruk melanda bandar Maiduguri di timur laut Nigeria dengan meragut sekurang-kurangnya 30 nyawa dan memaksa 400,000 orang berpindah dari rumah mereka.

"Bilangan mangsa maut adalah 30 orang," kata jurucakap Agensi Pengurusan Kecemasan Negara (NEMA) Ezekiel Manzo, sehari selepas air dari empangan yang melimpah meranapkan ribuan rumah di ibu kota negeri Borno.

Zubaida Umar dari NEMA juga menyifatkan situasi di bandar berkenaan amat menakutkan sambil menjangkakan penduduk dipindahkan boleh mencecah satu juta orang.

"Situasi di Maiduguri amat menakutkan. Banjir telah menenggelamkan kira-kira 40 peratus daripada seluruh bandar.

"Orang ramai terpaksa meninggalkan rumah mereka dan berada di merata-rata tempat. Menurut statistik kami, terdapat 414,000 orang dipindahkan," kata Umar.

Banjir tersebut disifatkan yang terburuk pernah melanda bandar terbabit dalam tempoh 30 tahun.

Krisis itu disebabkan pecahnya empangan Alau di Sungai Ngadda, 20 kilometer ke selatan Maiduguri pada hujung minggu. -AFP

SITI AISHAH MD ISA