fb fb fb fb fb

Mpox: Dua maut, enam kes positif di Cameroon

Foto fail pesakit mpox di Hospital Kavumu di Republik Demokratik Congo pada 24 Ogos lepas/AFP

YAOUNDÉ, 12 September- Penyakit cacar monyet atau mpox menyebabkan dua kematian di Cameroon dengan enam kes disahkan positif dijangkiti virus itu.

"Sejak kebangkitan semula mpox pada April 2024, negara merekodkan 46 kes disyaki mpox, enam daripadanya disahkan dengan dua kematian dilaporkan," kata Menteri Kesihatan, Malachie Manaouda, semalam.

Namun Manaouda berkata wabak berkenaan tidak berkaitan dengan strain Clade 1b yang lebih berbahaya.

Cameroon telah menguatkuasakan langkah pemantauan, vaksinasi dan kesedaran untuk mencegah kemungkinan wabak tempatan.

Ia susulan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan kecemasan antarabangsa berhubung mpox empat minggu lalu selepas peningkatan kes strain Clade 1b di Republik Demokratik Congo yang merebak ke negara jiran.

Pada akhir bulan lalu, mpox telah direkodkan di 14 negara Afrika.

Setakat ini, 796 kes telah direkodkan di Burundi, 162 di Congo-Brazzaville dan 45 di Republik Afrika Tengah, menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Afrika (CDC).

Republik Demokratik Congo dianggap sebagai pusat wabak itu.

Menurut angka terkini oleh Institut Kesihatan Awam Congo, hampir 22,000 kes dan 716 kematian berkaitan virus tersebut direkodkan sejak Januari lepas.

Sekitar 3.6 juta vaksin untuk negara-negara Afrika telah diperolehi, menurut CDC dan kumpulan pertama sedang diedarkan.

Mpox disebabkan virus yang ditularkan kepada manusia oleh haiwan dijangkiti tetapi juga boleh disebarkan daripada manusia ke manusia melalui hubungan fizikal rapat.

Ia menyebabkan demam, sakit otot, dan lesi kulit seperti bisul dan dalam beberapa kes boleh membawa maut. -AFP

SITI AISHAH MD ISA