fb fb fb fb fb

Jambatan Carola di Jerman runtuh, tiada terkorban

Pandangan udara Jambatan Carola (Carolabruecke) yang runtuh sebahagiannya di pusat bandar Dresden, timur Jerman semalam/AFP

DRESDEN, 12 September- Sebahagian jambatan di bandar dekat sini, timur Jerman runtuh awal pagi semalam, namun tidak melibatkan sebarang kecederaan atau korban.

Difahamkan tiada sesiapa berada di atas atau di bawah jambatan semasa kejadian.

Bagaimanapun pihak berkuasa mengeluarkan amaran bahawa bahagian lain pada jambatan terbabit berisiko untuk runtuh.

Kira-kira 100 meter bahagian Jambatan Carola, yang menghubungkan bandar lama Dresden dengan bahagian lain di bandar terbabit jatuh ke dalam Sungai Elbe sekitar pukul 3.00 pagi waktu tempatan, menurut bomba.

Jambatan dan kawasan sekitarnya telah ditutup hingga menyebabkan gangguan besar kepada lalu lintas.

Insiden turut menyebabkan gangguan bekalan air panas di beberapa kawasan susulan kerosakan dua paip pemanasan utama.

"Terdapat bahaya akut yang masih mengancam nyawa serta risiko runtuhan lanjut," kata jurucakap bomba, Michael Klahre, dalam sidang media bersama pegawai lain.

Perkhidmatan Cuaca Jerman (DWD) memberi amaran bahawa ribut dalam beberapa hari akan datang boleh menyebabkan paras Sungai Elbe meningkat, yang mana pihak berkuasa bimbang ia boleh menyebabkan kerosakan lebih lanjut.

Punca runtuhan masih dalam siasatan dengan kemungkinan kakisan akibat pencemaran klorida.

Jambatan tersebut dijadualkan untuk penyelenggaraan tahun depan. -AFP

1209 BD JERMAN JAMBATAN RUNTUH 2
FOTO AFP

SITI AISHAH MD ISA