YAMAN, 12 September - Muzium Negara Yaman di tengah ibu kota Sanaa dilaporkan rosak teruk akibat serangan udara Israel.
Pihak berkuasa tempatan merayu kepada UNESCO agar membantu melindungi bangunan bersejarah itu serta koleksi artifaknya.
Serangan pada Rabu itu menyasarkan beberapa lokasi di Sanaa dan wilayah al-Jawf, kawasan dikuasai kumpulan Houthi.
Antara sasaran utama ialah agensi propaganda Houthi yang terletak di kawasan paling padat penduduk, berhampiran tapak Warisan Dunia UNESCO, Bandar Lama Sanaa.
Akibatnya, banyak bangunan bersejarah, kediaman, kedai dan kenderaan rosak.
Muzium Negara yang terletak bersebelahan bangunan Houthi turut terkena tempias, dengan pintu kayu dewan pameran pecah hingga tidak dapat dibuka.
Pihak muzium masih belum dapat menilai kerosakan sebenar pada artifak.
Ketua muzium, Ibad Al-Hayal, berkata koleksi yang tersimpan di situ adalah khazanah lebih 2,000 tahun, meliputi pelbagai tamadun kuno Yaman sejak 3,000 tahun lalu.
“Muzium ini bukan sahaja milik Yaman, tetapi juga warisan untuk seluruh manusia,” katanya sambil merayu bantuan antarabangsa.
Yaman sebelum ini berdepan kehilangan warisan arkeologi akibat penjarahan, penyeludupan dan kemusnahan sepanjang konflik berlarutan lebih sedekad.
Situasi kini menambah risiko terhadap khazanah sejarah negara itu di tengah ketegangan berterusan antara Israel dan kumpulan Houthi. - REUTERS