PARIS, 12 September - Perancis menyifatkan tindakan Rusia melepaskan dron ke ruang udara Poland sebagai sesuatu yang “sama sekali tidak boleh diterima” dan akan memanggil Duta Rusia berhubung insiden itu, kata Menteri Luar, Jean-Noel Barrot pada Jumaat.
“Duta Rusia akan dipanggil pagi ini. Kami akan menegaskan bahawa kami tidak akan gentar... Sama ada disengajakan atau tidak, ini amat serius dan sama sekali tidak boleh diterima,” katanya kepada radio France Inter.
Barrot menambah, tindakan itu adalah sebahagian strategi Rusia untuk menguji dan menakut-nakutkan negara Eropah.
Insiden pada malam Selasa hingga Rabu itu menyaksikan tentera Poland dan NATO menembak jatuh beberapa dron.
Warsaw menyifatkannya sebagai serangan “belum pernah berlaku” terhadap negara mereka, NATO dan Kesatuan Eropah.
Moscow bagaimanapun menafikan terlibat dan berkata tiada bukti menunjukkan dron berkenaan milik Rusia.
Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump pula berkata pada Khamis bahawa kemungkinan pencerobohan dron itu berlaku “secara tidak sengaja.”
Susulan insiden tersebut, Presiden Emmanuel Macron mengumumkan Perancis akan menghantar tiga jet pejuang bagi membantu melindungi ruang udara Poland.
“Misi mereka adalah mengesan dan, jika perlu, memusnahkan dron yang mengancam wilayah Poland. Negara lain juga akan menyusul,” kata Barrot. - AFP